Pernahkah anda mendengar tentang kas kas? Atau anda ada meletakkan kas kas dalam masakan. Awas! Anda mungkin akan gagal dalam saringan ujian air kencing.

Tapi nanti dulu. Benarkah kas kas mengandungi narkotik yang akan membuatkan anda ketagihan? Dan adakah menjadi satu kesalahan jika anda menggunakan kas kas dalam masakan?

Kas kas pernah menjadi perbualan hangat satu ketika dahulu bila ada yang mendakwa kas kas yang digunakan dalam masakan akan mengakibatkan ketagihan.

Jadi mari kita ketahui 5 fakta mengenai kas kas.

1. Apa itu kas kas? Dan dari mana asal-usulnya

Pokok popi yang berbunga akan dikeringkan bagi memperoleh biji kas kas. Imej dari Botanic.co.uk

Kas-kas adalah biji daripada bunga pokok popi (Papaver Somniferum) yang sudah masak ranum dan tidak mengandungi bahan kimia narkotik (opium) kerana cecair yang menghasilkan opium pada tunasnya hanya wujud sebelum biji terbentuk sepenuhnya.

Kas-kas diambil apabila bunga popi sudah masak ranum dengan cara mengeringkan pod atau lenggai bunga popi. Bunga popi sudah masak ia tidaklah mengandungi bahan opium, tetapi ada kandungan yang sedikit bahan alkaloid daripada bunga popi, kira-kira 50 bahagian bagi setiap juta.

Jadi biji yang terhasil dari bunga popi yang sudah masak tidaklah sama kandungannya bagi menghasilkan dadah dari getah bunga popi yang berum kembang atau masak.

Buah popi akan ditoreh untuk menghasilkan dadah opiat. Imej dari Botanic.co.uk

Dalam menghasilkan dadah, opiat juga diperolehi daripada pokok popi. Getah dikeluarkan daripada buah popi, lalu ia dikeringkan dan diproses menjadi dadah kumpulan opiat iaitu candu, morfin dan heroin.

2. Kandungan yang terdapat dalam satu sudu kas kas

Selain sebagai penambah perasa kas kas juga mempunyai khasiat. Imej dari sinar

Menurut Ensiklopedia Britannica, kas kas tidak mengandungi unsur narkotik kerana cecair opium hanya terbentuk sebelum bunga popi benar-benar masak. Namun sedikit kandungan alkaloid masih wujud.

Satu sudu biji popi mengandungi kira-kira 1.6 gram protein, 3.7 gram lemak, 2.5 gram karbohidrat dan 46 kalori. Biji popi juga mengandungi sumber mineral yang baik seperti Manganese, Kalsium, Magnesium, Fosforus, Ferum, Zink, Kalium dan Selemium.

Kas-kas juga kaya dengan serat dan mengandungi Asid lemak omega-3 dan Asid lemak omega-6. Ia dilaporkan boleh meredakan masalah asma dan batuk.

Tidak dapat dinafikan bahawa biji popi amat tinggi khasiatnya tetapi ia juga dikatakan mampu memberi kesan pada ujian dadah.

Pengambilan biji popi yang kerap mungkin boleh membawa kepada ujian dadah yang positif kerana kajian yang pernah dijalankan menunjukkan ujian telah mengesan bahan dadah seperti candu dalam air kencing. Ini adalah kerana biji popi dan heroin datang dari tanaman yang sama, Kas-kas.

3. Kerajaan tidak mengharamkan penggunaan kas kas dalam masakan

Kas kas tidak diharamkan.Petikan akhbar bertarikh 13 April 2016. Imej dari Utusan

Kas kas pernah hangat diperdebatkan satu ketika dahulu apabila ada yang mendakwa penggunaan kas kas dalam masakan menyebabkan ketagihan namun kemuncaknya kerajaan melalui Kementerian Kesihatan talah membenarkan penggunaan kas kas dalam masakan.

Dalam satu kenyataan oleh Kementerian Kesihatan bertarikh 13 April 2016 Menterinya ketika itu berkata tidak bercadang mengharamkan rempah kas kas berikutan penggunaan rempah tersebut dalam masakan dibenarkan di negara ini.

Walau bagaimanapun, kementerian tetap akan memantau penggunaan rempah penyedap masakan itu dari aspek keselamatan makanan.

Kata beliau, pihaknya akan bertindak sekiranya terdapat aduan orang ramai berhubung penggunaan berlebihan rempah berkenaan.

4. Penggunaan kas kas dalam masakan

kas kas lazimnya digunakan untuk memekatkan kuah.

Kas kas lazimnya digunakan di benua Amerika Utara dan Eropah sebagai salah satu ramuan pastri seperti mufin dan bagel. Di Asia Selatan, kas kas popular sebagai rempah yang dicampur bersama dengan serbuk kari.

Biji popi boleh digunakan sama ada dalam bentuk asal atau serbuk yang hancur dalam masakan dan industri bakeri.

Biji popi putih memang biasa digunakan dalam masakan India seperti kari dan rempah mengandungi sejumlah kecil biji popi yang mampu menambah kelazatan makanan tersebut.

Di negara barat pula dilaporkan bahawa minyak biji popi atau dalam bahasa Perancis dikenali sebagai ‘oillette’ sering digunakan untuk tujuan masakan dan pengganti kepada minyak zaitun.

5. Kas kas dan restoran mamak

nasi ganja Ipoh sangat popular dengan hidangan nasi kandar. Imej dari orangperak.com

Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata kas kas hanya digunakan dalam kuantiti yang sedikit sebagai penambah perasa makanan.

Tidak dinafikan kebanyakan restoran-restoran mamak menggunakan kas kas dalam masakan. Ini kerana Kas-kas berfungsi untuk ‘memekatkan’ kuah dan menambah rasa dalam kari.

Jadi, apakah yang anda rasa bila makan dikedai mamak. Ketagih atau berasa khayal? Anda mungkin telah merasai kas kas dan anda sudah mula menyukainya. Oleh itu usah khuatir lagi dengan kas kas, ia hanya penambah perasa bagi makanan.

Artikal Berkaitan:
5 Fakta Safron Yang Anda Tak Tahu 
Benarkah Nasi Kandar Asalnya Adalah Makanan Buruh?

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Nasi Kukus King Di Setapak Ditemui! (Beratur Panjang)

Sumber: Awani, Utusan