Baru-baru ini telah tular mengenai terdapat cacing dalam produk ikan dalam tin. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar bertarikh 27 Jun.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan pemantauan ke atas produk ikan dalam tin (sardin dan mackerel) yang diimport serta di pasaran tempatan.

Selain daripada 2 jenama produk ikan sardin yang telah dikesan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp. sebelum ini iaitu TL Tan Lung dan TLC.

Hasil pemantauan terkini mendapati produk ikan sardin jenama Cinta, Sea Fresh dan HS Brand juga mengandungi cacing FilumNematoda daripada genus Anisakis spp.

Tahukah anda produk makanan dalam tin mampu bertahan hingga 100 tahun? Kami senaraikan 5 fakta mengenai produk makanan dalam tin.

1. Sejarah makanan dalam tin

Semasa tahun pertama Peperangan Napoleon , kerajaan Perancis telah menawarkan ganjaran tunai 12,000 franc kepada mana-mana pencipta yang boleh membuat satu kaedah yang murah dan berkesan untuk memelihara sejumlah besar makanan.

Bilangan tentera yang semakin bertambah ketika itu memerlukan bekalan makanan yang berkualiti tinggi dan banyak.

Penyediaan makanan yang terhad adalah antara faktor-faktor yang menyebabkan kempen ketenteraan pada bulan-bulan musim panas dan musim gugur semakin merosot.

Dan pada tahun 1809, Nicolas Appert , seorang tukang masak Perancis dan pembuat bir, mendapati bahawa makanan yang dimasak di dalam balang tidak mudah rosak dan daripada situ telah timbul idea mengembangkan satu kaedah penyimpanan makanan dalam balang kaca.  

Appert telah dianugerahkan hadiah pada tahun 1810 oleh Count Montelivert, seorang menteri di pedalaman Perancis.

Dari pada idea itu maka bermulalah revolusi penyimpanan makanan kedap udara sebelum ditambah baik dalam bentuk pengetinan oleh seorang pakar mikrobiologi Louis Pasteur 50 tahun kemudian.

2. 6 jenama yang mengandungi cacing

Sehubungan itu KKM telah menyenaraikan 6 jenis produk yang dikesan mengandungi cacing.

KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan di mana syarikat terlibat telah diarah menarik balik produk tersebut dari pasaran.

KKM juga telah mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara. Antara jenama tersebut adalah:

Senarai Jenama yang dibalik di pasaran. Imej dari KpKesihatan.com

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukan mana-mana pihak yang terlibat di dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

3. Jenis cacing yang terdapat pada produk ikan dalam tin

Apa sebenarnya yang terjadi kepada produk ikan dalam tin yang mengandungi cacing pada ikan tersebut? Sedangkan makanan dalam tin telah diperakui oleh pakar adalah salah satu makanan yang bebas bendasing dan selamat untuk dimakan.

Untuk rekod makanan dalam tin masih boleh dimakan walaupun telah berusia 100 tahun.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dalam ujian yang telah dibuat berkata 2 jenama produk ikan sardin yang telah dikesan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp

Menurut Pensyarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Marina Hassan berkata parasit memang wujud dalam rantaian makanan atau kehidupan harian manusia tanpa disedari secara langsung.

“Makanan yang tercemar oleh parasit adalah sukar untuk dielakkan kerana kadang-kadang ianya tidak dapat dikesan tetapi parasit yang biasanya dikesan di dalam makanan laut adalah nematod (cacing gelang), cestod (cacing pita) and flukes (cacing pipih),” katanya kepada Bernama.

Cacing Gelang (Filum Nematoda) lazimnya terdapat dalam air tawar, air masin, dan persekitaran darat, di mana ia sering melebihi bilangan haiwan lain dari segi bilangan dan jumlah spesies.

4. Apa risiko cacing pada badan?

Menurut KKM bagi produk ikan dalam tin, risiko kepada kesihatan adalah amat rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.

“Namun, terdapat juga parasit yang sukar dikesan seperti protozoa. Terdapat beberapa simptom yang disebabkan oleh jangkitan parasit iaitu sakit perut, cirit birit, muntah, pucat, hilang berat badan dan hilang selera makan. Profesor Madya Dr Marina Hassan, Pensyarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Jika berlaku sebarang simptom yang ketara ini, maka ianya boleh dikesan dan dapat dirawat.

Parasit mungkin menjangkiti kita tetapi ianya tidak memberi kesan berpanjangan atau signifikan dan berkemungkinan ianya mati disebabkan sistem pertahanan badan kita yang kuat.

5. Apa kata netizen?

Sejak tular isu terbabit rata-rata netizen menyuarakan pendapat berbeza. Ada yang beranggapan produk makanan dalam tin tidak baik untuk kesihatan keranan mempunyai kandungan bahan pengawet.

Ada juga berkata perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ikan sardin dalam tin merupakan makanan rakyat dan sudah menjadi menu masakan sejak sekian lama.

Namun rata-rata netizen kecewa dengan isu ini dan berharap agar perkara ini diberi perhatian agar tidak berulang.

KKM dalam kenyataan medianya turut menasihatkan pengguna jika mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tak Perlu Risau Ada Cacing, Buat Sendiri Sardin Di Rumah

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Menu Ringkas : Sambal Sardin

Sumber: KpKesihatan.com, Astro Awani