Pada 7 Jun lepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan akhbar telah memaklumkan bahawa terdapat peningkatan bilangan kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia.

Sehingga 26 Mei 2018, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 21,644 kes berbanding hanya 19,398 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2017. Bilangan kes di kebanyakan negeri telah melepasi paras amaran.

Perkara ini dilihat membimbang ekoran peningkatan kes yang mendadak. Beberapa perkara perlu diambil perhatian serius oleh maysarakat khususnya ibu bapa.

Dan ini beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang penyakit tangan, kaki dan mulut.

Apa itu penyakit tangan, kaki dan mulut atau HFMD?

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut.

Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin) dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5-7 hari.

Jika terkena jangkitan lazimnya ia boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak itu kekurangan air di dalam badannya kerana dalam penyakit ini ia akan menyebabkan ulser yang banyak di dalam mulut.

Oleh itu, kanak-kanak selalunya akan menolak daripada meminum air kerana ia akan menyebabkan mulutnya sakit dan pedih.

Pesakit selalunya akan mengadu ulser yang banyak di dalam mulut berserta ruam di tangan dan kaki.

Penyakit ini selalunya lebih teruk memberi kesan kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Jangkitan ini juga boleh menyebabkan keradangan pada otot jantung(Myocarditis), jangkitan pada paru-paru, jangkitan pada otak dan selaputnya(Meningoencephalitis) dan juga kematian.

Apabila seseorang itu sudah dijangkiti penyakit ini, sangat jarang untuk ia berlaku semula.

Terdapat juga kes kematian dan juga masalah saraf bagi wabak penyakit ini jika virus yang terlibat adalah enterovirus. Komplikasi ini berlaku terutamanya pada kanak-kanak dan ia melibatkan wabak yang besar.

HFMD satu penyakit berjangkit.

Penyakit kaki tangan dan mulut merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan jangkitan virus.

Penyebab kepada penyakit ini adalah disebabkan 2 jenis virus iaitu virus Coxsackie dan virus enterovirus.

Virus coxsackie sangat mudah menjangkiti orang lain. Ia boleh merebak dengan cara sentuhan kepada cecair daripada mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti virus tersebut.

Virus tersebut akan masuk ke dalam saluran limfa melalui kulit dibahagian mulut dan lapisan usus. Daripada saluran limfa itu ia akan merebak ke kalenjar limfa dan masuk ke dalam darah.

Ia akan menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska dan tadika.

Kemudian, virus akan merebak ke seluruh badan terutamanya kawasan kulit dan lapisan mulut. Disitulah, ruam penyakit kaki, tangan dan mulut akan terbentuk dan virus itu bersedia menjangkiti orang lain.

Bagi tahun 2018, sehingga kini, sebanyak 316 buah taska/tadika/tabika/pra-sekolah melaporkan kluster HFMD di premis mereka, iaitu 52% dari jumlah wabak yang dilaporkan.

Simptom dan gejala

Sebelum pesakit mempunyai ruam dan ulser, pesakit akan masuk ke dalam fasa prodrome iaitu fasa dimana pesakit akan mempunyai simptom seperti:

  • Demam yang tidak tinggi(suhu 38.2 darjah celcius)
  • Kurang selera makan
  • Sakit perut
  • Batuk
  • Sakit mulut
  • Ulser dalam mulut

Kemudian, ulser akan timbul di dalam mulut dan diikuti dengan ruam pada kaki dan tangan. Ruam pada kaki dan tangan selalunya akan timbul selama 5-10 hari

Ketika mana ulcer banyak di bahagian mulut, ia akan menyebabkan pesakit terutamanya kanak-kanak kurang selera makan dan minum. Pesakit akan menangis ketika mengambil makanan dan juga minuman.

Selain itu pesakit juga mungkin mempunyai simptom cirit-birit dan muntah-muntah jika dijangkiti virus jenis enterovirus.

Komplikasi

Beberapa komplikasi yang boleh dihadapi oleh pesakit ini adalah

Dehidrasi: Ia selalu berlaku pada kanak-kanak kerana mereka akan menolak untuk minum ketika menghadapi penyakit ini. Ia disebabkan ulcer yang teruk di dalam mulut mereka

Meningoencephalitis: Jangkitan kuman pada otak dan selaputnya

Myocarditis: keradangan pada otot jantung

Mempunyai masalah penglihatan ataupun Buta. Ia disebabkan jangkitan kuman ini membentuk parut pada macula di bahagian retina mata. Tetapi ia sangat jarang berlaku

Oleh kerana itu, ibubapa perlulah melihat keadaan anak-anak mereka. Jika pesakit kurang sangat minum, asyik menangis, tidak bermaya dan apa-apa perkara yang merisaukan ibubapa, kanak-kanak perlulah dibawa segera berjumpa dengan doktor

Kaedah dan rawatan

Diagnosis dibuat oleh kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik munculnya lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan sihat.

Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan mengurangkan gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak berkesan dan tidak diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi merawat demam.

Disebabkan penyakit kaki, tangan dan mulut ini merupakan penyakit yang disebabkan virus dan boleh baik dengan sendirinya, maka rawatan penyakit ini lebih kepada rawatan sokongan.

Beberapa perkara yang perlu dibuat untuk menghadapi pesakit ini adalah:

  • Perlu selalu memberi minum air.
  • Ais krim boleh mengurangkan sakit pada ulcer. Jika anak mempunyai ulcer yang teruk, pemberian aiskrim dapat mengurangkan sakit pada ulcer malah menggembirakan mereka.
  • Penggunaan ubat parcetamol boleh mengurangkan rasa sakit dan demam
  • Ubat titis untuk mengurangkan sakit juga boleh didapati daripada klinik dan farmasi terdekat.
  • Jika pesakit mempunyai simptom yang lebih teruk, ibubapa perlulah membawa anak mereka ke  Klinik ataupun hospital

Pencegahan dari merebak

KKM menggesa orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska/tadika/tabika/pra-sekolah untuk:

  • Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak;
  • Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD. Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya;
  • Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain;
  • Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
  • Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

KKM juga ingin menasihati ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya:

  • Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
  • Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
  • Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin; dan
  • Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Kepak Ayam Pedas Berapi

Sumber: KpKesihatan, ediagnosa, myhealth.gov