Tom Yam adalah menu yang tidak asing lagi bagi masyarakat di negara kita. Setiap kaum yang ada di Malaysia pasti boleh menerima Tom Yam sebagai menu makanan. Pendek kata ia sesuai dengan tekak kita.

Pengaruh Tom Yam di negara kita sangat kuat bila bercambahnya restoran masakan ala Thai yang menghidangkan Tom Yam sebagai menu pelaris.

Tetapi sebenarnya mengikut cerita orang lama fenomena restoran ala Thai yang menghidangkan Tom Yam hanya mula popular sekitar tahun 90an.

Untuk artikal kali ini kami menyingkap sedikit sejarah perihal Tom Yam dan 7 jenis Tom Yam popular yang perlu anda tahu.

Tom Yam asalnya hidangan untuk raja

Perkataan Tom Yam itu sendiri bermaksud air rebusan yang terdiri dari pelbagai campuran bahan dan juga rempah. Maka tidak hairanlah dalam hidangan Tom Yam terdapat pelbagai jenis bahan.

Terdapat dua jenis Tom Yam pada asasnya. Yang pertama adalah Tom Yam berkuah putih yang mempunyai rasa masam disebut sebagai Tom Yam Namsam.

Berbeza dengan Tom Yam kuah putih, Tom Yam merah pula kuahnya sedikit berminyak dan dimasak bersama rempah serta mempunyai rasa masam dan pedas.

Walaupun terdapat dua jenis Tom Yam yang berbeza namun bahan asasnya hampir sama iaitu daun limau purut, serai, perahan limau dan juga lengkuas.

Menurut catatan sejarah, Tom Yam bermula sejak sebelum kurun ke-19 lagi, sebagai masakan keluarga DiRaja Thailand pada ketika itu. Kemudian Tom Yam mula diperkenalkan kepada rakyat jelata di bahagian tengah Thailand dan telah menjadi menu popular ke seluruh pelosok Thailand.

Tom Yam juga menjadi hidangan terkenal di Laos. Versi  Tom Yam DiRaja Laos agak berbeza iaitu dengan memasukkan secubit nasi di dalam sup. Manakala versi Thailand tidak memasukkan nasi sebagai salah satu bahannya.

Tom Yam juga telah mengalami perubahan dari resepi asalnya. Kini variasi Tom Yam baru mula muncul di mana sedikit susu atau santan dicampurkan kepada kuah sebagai sentuhan akhir, dan kemudian diimbang dengan cili kering panggang.

Kini terdapat hampir 7 jenis Tom Yam yang popular di Thailand dan ada sesetengahnya dijadikan menu makan malam di Malaysia.

1. Tom Yam Kung ต้มยำกุ้

Tom Yam Kung adalah jenis Tom Yam yang popular di kalangan pelancong asing bila berkunjung di Thailand. Tom Yam jenis ini juga ada terdapat di Malaysia.

Bercirikan kuah yang agak merah manakala lauk yang ditambah dalam air rebusan ini adalah udang.

2. Tom Yam Pla ต้มยำปลา

Tom Yam Pla adalah jenis rebusan sup putih yang ditambah dengan lauk ikan. Tom Yam jenis ini lazimnya dimakan bersama nasi putih.

Dikatakan Tom Yam jenis ini sangat popular di Thailand satu ketika dahulu sebelum kemasukan pelancong secara besar-besaran ke Thailand.

Antara jenis ikan yang digunakan dalam masakan ini adalah ikan segar air tawar dan juga ikan air masin. Namun ikan air tawar lebih menjadi pilihan kerana ikan jenis ini tidak mudah hancur apabila direbus manakala ramuan rempah akan digunakan bertujuan menghilangkan bau hanyir ikan.

3. Tom Yam Kai ต้มยำไก่

Tom Yam jenis ini hanya bercirikan lauk ayam. Ia merupakan hidangan bagi sesiapa yang tidak boleh makan makanan laut atau ikan maka hidangan ini adalah alternatif bagi mereka. Tom Yang jenis ini turut diletak bersama hirisan lengkuas.

4. Tom Yam Por Thek/Pok Tek ต้มยำทะเล

Tom Yam jenis Pok Tek adalah yang paling popular di Malaysia. Hidangan jenis ini terdapat campuran pelbagai jenis makanan laut seperti cebisan ikan, sotong, kupang dan udang. Di Thailand ia dipanggil Tomyam Por Thek Thale.

5. Tom Yam Nam Khon ต้มยำน้ำข้น

Tom Yam Nam Khon adalah variasi Tom Yam jenis baru kerana kuahnya telah dimasak bersama santan dan menjadikanya lebih pekat berbanding dengan Tom Yam jenis lain.

Manakala lauk dalam tomyam ini biasanya jenis udang yang besar, juga diletakkan bersama cili kering.

6. Tom Yam Kung Mak Phrao On Nam Khon ต้มยำกุ้งมะพร้าวอ่อนน้ำข้น

Tom Yam jenis ini agak menarik kerana terdapat isi kelapa muda yang dimasak bersama lauk udang dalam satu hidangan. Di Thailand mereka menghidangkan Tom Yam jenis ini di dalam buah kelapa muda.

7. Tom Yam Kha Mu ต้มยำขาหมู (Tidak Halal)

Tom Yam jenis ini menggunakan daging yang tidak halal. Lazimnya daging yang digunakan adalah pada bahagian kaki. Tom Yam jenis ini turut terdapat di Laos dan merupakan hidangan tradisi bagi sesetengah tempat.

Kini Tom Yam telah menjadi popular bukan sahaja di Malaysia malah turut menjadi kegemaran di Singapura, Indonesia dan juga Brunei. Hasil variasi baru yang telah dicipta oleh orang-orang siam maka kita dapat menikmati kelazatan hidangan Tom Yam.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Lubuk Nasi Ngidey Resepi 4 Generasi

Sumber: Wikipedia, cakapsiam.blogspot