Amalan memakan sirih merupakan satu tradisi yang telah diamalkan sejak lama dahulu. Dipercayaai amalan ini asalnya dari India dan telah tersebar hingga ke beberapa negara di Asia Tenggara seperti di Thailand, Myanmar, Indonesia dan Malaysia.

Amalan bersirih juga mempunyai falsafah yang tersendiri, malah sirih pinang telah meresap ke dalam budaya orang Melayu samada secara simbolik, aspek perubatan, magis dan makanan.

Sejarah awal amalan bersirih

Menurut catatan sejarah, tradisi makan sirih atau bersirih ini merupakan warisan budaya silam yang telah wujud lebih daripada 3,000 tahun yang lampau.

Amalan memakan sirih ini adalah sinonim dengan masyarakat di Asia Tenggara dan Melanesia termasuklah Malaysia.

Asal usul tradisi makan sirih sehingga ke hari ini masih tidak dapat dipastikan secara sahih. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan bahawa tradisi ini mungkin bermula di India berdasarkan catatan dalam epik Ramayana dan Mahabrata,kitab-kitab Buddha serta Ayurveda.

Sirih yang terdapat di Semenanjung Malaysia adalah terdiri daripada beberapa jenis utama seperti Sirih Melayu, Sirih Cina, Sirih Keling dan Sirih Hutan. Berdasarkan rupa bentuk dan rasa, setiap jenis sirih tersebut adalah berbeza.

Berdasarkan pemerhatian yang dibuat oleh Tome Pires di pelabuhan Melaka sekitar tahun 1512 dan 1515 sepertimana yang dicatakan dalam kitabnya Suma Oriental, antara amalan eksotik yang diperhatikannya dalam tempoh masa tersebut ialah amalan memakan sirih dan pinang yang dikenali sebagai betele dan areca dalam bahasa Portugis.

Ini memberikan indikasi bahawa amalan memakan sirih ini mula-mula diperhatikan oleh orang-orang Portugis di sepanjang pantai Malabar.

Bukti linguistik dan arkeologi pula menunjukkan bahawa sirih (Piper betle L.) dan pinang (Areca catechu) adalah tumbuhan asli di Kepulauan Melayu.

Falsafah sirih pinang dalam masyarakat Melayu

Tepak sirih sebagai alat komunikasi tanpa lisan. Imej dari Latif Maulan

Dalam kebudayaan Melayu, sirih (Piper betle L.) melambangkan rendah diri dan kehormatan sepertimana dapat diperhatikan daripada pepohon sirih yang menjalar dan memanjat tanpa merosakkan tumbuhan perumah.

Menurut pandangan masyarakat Melayu terdahulu,gabungan sirih, kapur, pinang dan gambir secara simboliknya menjelaskan setiap ciri yang perlu ada sebagai orang Melayu.

Sekapur  sirih yang dicantumkan menjadi satu menggambarkan corak kehidupan masyarakat Melayu yang mementingkan adat dan nilai dalam bermasyarakat.

Kelima-lima elemen yang melengkapkan sirih ini turut mengingatkan masyarakat Melayu mengenai  lima rukun Islam yang perlu diamalkan bagi kehidupan yang aman dan damai.

Makna simbolik setiap elemen bersirih. Sumber: Sirih Pinang, Perpustakaan Negara Malaysia (2001). Imej dari eprints.usm

Sirih sebagai alat komunikasi bukan lisan

Selain amalan memakan sirih, amalan lain yang turut mempunyai perkaitan erat dengan sirih ialah penggunaan tepak sirih dan sirih junjung di kalangan masyarakat Melayu yang mempunyai falsafah dan simbolisme yang tersendiri.

Persembahan tepak sirih dalam upacara meminang, bertunang dan perkahwinan misalnya dianggap sebagai pembuka dan pelengkap sesuatu majlis yang mana tanpanya majlis tersebut akan dianggap tidak beradat dan sumbang.

Sirih dianggap penting dalam menjaga hubungan kedua-dua pihak sehinggakan setiap perlakuan sewaktu memberi dan menerima tepak sirih tersebut turut mempunyai tafsiran dan maksud yang tersendiri. Menghulurkan ‘kepala’ tepak sirih kepada ketua keluarga misalnya memberikan maksud hormat dan begitulah sebaliknya.

Peranan sirih khususnya dalam bentuk sirih junjung dan tepak sirih bukan hanya penting dalam konteks perkahwinan Melayu tetapi juga sebagai alat komunikasi, penyeri majlis dan kepala perarakan dalam upacara rasmi seperti contohnya istiadat pertabalan Sultan.

Peranan sirih dalam perubatan Melayu

Penggunaan sirih tidak hanya terhad sebagai pembuka bicara dan lambang ketertiban serta hospitaliti Melayu malah turut digunakan dalam perubatan tradisional, ritual serta magis khususnya dalam konteks perhubungan dengan semangat atau makhluk halus.

Sebagai lambang komunikasi bukan lisan misalnya, tepak sirih yang diserahkan kepada bidan sewaktu melenggang perut adalah dianggap sebagai ‘tempahan’ bagi khidmat bidan tersebut manakala tepak sirih yang diserahkan kepada pengamal perubatan tradisional membawa maksud penerimaan ilmu yang diperturunkan.

Dalam konteks perubatan Melayu, sirih banyak digunakan secara tunggal ataupun digabungkan dengan bahan-bahan lain untuk kegunaan perubatan seperti bagi mengubati penyakit berkaitan paru-paru seperti asma dan batuk, demam, demam panas, penyakit kelamin, keputihan serta menghilangkan bau mulut.

Antara penggunaan sirih yang turut dicatatkan dalam Kitab Tibb yang terdapat ialah sepertimana berikut:

Kegunaan sirih bagi mengubati penyakit berdasarkan Kitab Tibb Perpustakaan Nasional Jakarta. Imej dari eprints.usm

Sehingga ke hari ini, sirih masih dipercayai sebagai antara herba yang penting bagi menjaga kewanitaan Melayu. Secara tradisional, sirih dijadikan amalan sebagai basuhan khususnya bagi wanita yang telah berkahwin dan selepas bersalin.

Walaupun tradisi ini masih dikekalkan, namun tabiat memakan sirih semakin terpinggir dan hanya diamalkan oleh golongan tua. Sirih akan tetap diangkat sebagai satu seni yang mempunyai falsafah tersendiri dalam budaya Melayu.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Puas Hati Pekena Kambing Bakar Kat Setapak Ni 😱

Sumber: eprints.usm