Merasakan ingin berdikari sendiri dan merasai kehidupan berkeluarga, sepasang suami isteri mengambil keputusan untuk membina rumah dan tinggal bersama-sama di dalam hutan di Kuala Nerang Kedah, Kedah walaupun tidak mengalami kemiskinan ataupun halangan oleh keluarga masing-masing.

BACA: Ini Sebab Pasangan Ini Nikah Di Hospital

Ahmad Ridzuan Yaacob, 26 dan Nor Hidayah Sahazan, 23, memberitahu Astro Awani bahawa mereka telah setahun tinggal di dalam hutan berhampiran Kuala Tualak.

Sepanjang tempoh itu mereka sekeluarga menyemai rasa keserasian dan kasih sayang bagi memberi kebahagian dalam keluarga mereka bersama tiga anak mereka Putera Danny Quefiq, 6, Puteri Dannysha Queyllyaa, 4, dan Iman Muhammad Naufal Fath, 18 bulan.

Kawasan yang dipilih oleh Ahmad Ridzuan itu berdekatan dengan punca air dan sebelum ini kawasan tersebut dijaga oleh neneknya dengan tujuan untuk bercucuk tanam.

Bermula daripada sebuah pondok kecil, suami isteri tersebut mengubahsuainya kepada pondok tiga tingkat yang diperbuat daripada batang kayu dan buluh.

Pondok tiga tingkat suami isteri tersebut terletak lima kilometer dari jalan utama dan melalui tanah merah yang licin dan tidak ramai orang ingin tinggal di kawasan tersebut.

“Saya sanggup meninggalkan ibu bapa dan menetap di dalam hutan kerana saya lebih menyayangi suami dan keluarga saya dan hutan ini merupakan punca rezeki bagi kami,” ujar Nor Hidayah yang berasal dari Pulau Pinang.

Selain itu, Nor Hidayah juga kini sedang mengandung dan bakal melahirkan anak yang keempat dalam jangka masa empat bulan.

Kehidupan berdikari pasangan suami isteri itu meraih perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Badrul Hisham Hashim sehingga beliau menziarahi pasangan tersebut dan menawarkan rumah dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Saya ingin membantu mereka untuk menempatkan mereka di rumah PPRT di Kuala Nerang namun Ridzuan tidak mahu dan berkata dia rela menetap di dalam hutan,” ujarnya lagi.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram