Kelapa Sawit merupakan tanaman utama di Malaysia pada masa kini. Terdapat seluas 4,691,160 hektar tanaman kelapa sawit di Malaysia pada tahun 2009 berbanding cuma 642,00 hektar direkodkan pada tahun 1975.

Negeri Sabah merupakan kawasan utama tanaman sawit di Malaysia (1.362 juta ha atau 29.7%) diikuti oleh Sarawak (0.840 juta hektar atau 16.6% ) dan Johor (0.712 juta hektar atau 15.32%).

Sejak kebelakangan ini, kempen antiminyak sawit di Eropah sering dipaparkan oleh media arus perdana. Tetapi, ada beberapa fakta yang benar-benar perlu diketahui.

Minyak sawit penyumbang utama ekonomi Malaysia

Lebih 600,000 pekebun kecil bergantung pada tanaman sawit. Imej dari Usahawan.com

Fakta pertama, minyak sawit adalah penyumbang utama kepada ekonomi, masyarakat dan kemakmuran Malaysia.

Lebih 650,000 pekebun kecil bergantung kepada tanaman sawit dan jumlah ini mencecah 2.3 juta rakyat Malaysia sekiranya bilangan kanak-kanak daripada keluarga yang terbabit juga diambil kira.

Industri sawit Malaysia adalah sumber ekonomi utama pekebun kecil dan sudah membantu mengeluarkan mereka serta keluarga dari belenggu kemiskinan.

Pengharaman ini, sekiranya dilaksanakan, akan memberi impak yang negatif kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.

Ia akan menjejaskan kualiti kehidupan pekebun kecil dan mengurangkan hasil pendapatan rakyat yang terbabit di dalam industri sawit.

Kesatuan Eropah akan mula haramkan biosawit bermula tahun 2021

kempen yang dijalankan untuk memboikot minyak sawit oleh portal luar. Imej dari SayNoToPalmOil.com

Fakta kedua, Kesatuan Eropah (EU) sudah mengesahkan rancangannya mengharamkan bahan bakar biosawit yang menjadi sebahagian besar eksport Malaysia. Pengharaman itu bermula tahun 2021, iaitu tiga tahun sahaja lagi.

Dari manakah munculnya larangan yang dicadangkan oleh EU ini? Ia mula diusulkan di dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy Directive – RED), iaitu undang-undang EU yang menyelia semua peraturan berkaitan tenaga boleh diperbaharui, termasuk bahan bakar bio sawit.

Dua undi itu dalam kedua-dua Jawatankuasa Parlimen Eropah kini sudah mengesahkan rancangan untuk mengharamkan bahan bakar biosawit.

Pengharaman biosawit oleh Eropah akan menjejaskan pekebun kecil di Malaysia.

Proses menggubal undang-undang EU mengenai Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) sedang berlangsung di Brussels. Satu mesyuarat diadakan pada 18 Disember 2017 di antara Menteri Tenaga dari negara ahli EU untuk membincangkan isu berkenaan.

Menteri yang secara kolektifnya dikenali sebagai Majlis – mempunyai kuasa membuat keputusan bersama dengan Parlimen Eropah. Sepanjang tiga hingga enam bulan berikutnya, kedua-dua institusi EU akan mengadakan lebih banyak mesyuarat, rundingan dan undi berkaitan RED. Ini akan menentukan masa depan bahan bakar biosawit di Eropah.

Pandangan awam EU terhadap minyak sawit masih negatif – Duta Perancis

Warga Eropah masih berpandangan negatif pada penanaman sawit di Malaysia. Imej dari Change.org

Kalangan orang awam di Kesatuan Eropah (EU) masih terus memberi pandangan negatif terhadap minyak sawit atas alasan kaitan komoditi itu ke atas perubahan cuaca, impak alam sekitar dan perlindungan biodiversiti.

Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche berkata, persepsi itu masih ketara walaupun pelbagai usaha berterusan telah dilaksanakan bagi mempromosi industri sawit, mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan di EU serta mengukuhkan penglibatan dengan pengguna akhir.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar EU dan Malaysia saling mempertingkatkan kerjasama bagi mencari penyelesaian menangani kebimbangan serta sentimen orang ramai, khususnya mengenai isu kemusnahan hutan di rantau ini.

“Kita perlu menghadapinya secara bersama. Harapan saya adalah kita dapat bekerjasama dan bukannya berada di gelanggang untuk mengkritik satu sama lain tanpa mencari titik persefahaman. Ada banyak perkara atau kemungkinan yang perlu difahami kedua-dua belah pihak bagi memulihkan keadaan itu,” kata beliau kepada Bernama dalam temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Mengulas selanjutnya, Laplanche berkata Perancis sendiri sedia maklum dan memahami kepentingan minyak sawit terhadap ekonomi Malaysia.

Malah, negara itu turut bertindak sebagai perantara dalam kalangan EU agar blok ekonomi itu tidak melaksanakan dasar diskriminasi terhadap komoditi itu, terutamanya yang menyentuh kepentingan pekebun kecil.

Malaysia baharu dan industri sawit

Ada sedikit kelegaan selepas Eropah melonggarkan syarat.

Industri minyak sawit Malaysia baru-baru ini mendapat kelegaan singkat selepas EU melonggarkan pendiriannya berhubung penggunaan minyak sawit dalam kalangan negara anggotanya dengan membenarkan larangan merujuk kelapa sawit dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui yang dikemaskini.

Ini dicapai susulan Trilog EU antara Parliman EU, Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada 14 Jun lepas.

Mengikut cadangan asal, larangan berhubung penggunaan minyak sawit dalam biobahan api menjelang 2021 perlu dimasukkan dalam arahan itu.

Pada bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kunjungan rasmi ke Indonesia berkata Kuala Lumpur dan Jakarta yang juga pengeluar terbesar minyak sawit di dunia, telah bersetuju untuk bekerjasama bagi menangkis kempen anti-minyak sawit di Eropah.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Menangis Makan Spaghetti Masak Lemak Cili Padi Berapi 🔥🔥🔥

Sumber: BeritaHarian, UtusanBorneo