Semalam kita dikejutkan dengan kes pertama coronavirus di Singapura melibatkan pesakit lelaki berusia 66 tahun. Difahamkan, lelaki tersebut merupakan rakyat Wuhan tiba di Singapura bersama keluarganya pada 20 Januari lalu.

Nampaknya wabak misteri itu semakin menimbulkan kebimbangan dikalangan rakyat Malaysia apabila hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan tiga warga China yang memasuki Malaysia disahkan positif coronavirus.

BACA: Singapura Sahkan Kes Pertama Coronavirus, Rakyat Wuhan Datang Bercuti

Difahamkan tiga pelancong tersebut yang memasuki Malaysia melalui Johor Bahru adalah ahli keluarga terdekat kepada pelancong dalam kes pertama di Singapura.

Mereka yang positif itu adalah isteri kepada kes pertama di Singapura berumur 66 tahun dan dua cucu mereka masing-masing 11 tahun dan 2 tahun.

Ketiga-tiga mereka kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh. Laporan memberitahu kesemua warga China itu telah melalui saringan kesihatan ketika memasuki pinta masuk antarabangsa namun tidak menunjukkan sebarang tanda.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor berjaya mengesan mereka selepas mendapat malumat daripada Kementerian Kesihatan Singapura untuk menjalani ujian pengesanan semula.

Sampel klinikal dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan Sungai Buloh dan disahkan positif lewat malam tadi.