Tidak dapat dinafikan rata-rata anak muda kini sedang bergelut untuk terus hidup dek kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu dan bukan mudah untuk menyimpan duit. Tetapi siapa sangka dengan mengumpul RM1, anda mampu menunaikan ibadah haji suatu hari nanti.

Itulah yang dilakukan oleh seorang pemuda, Azwan Ariff Mohd Azman Hii, 26 tahun, yang bakal merealisasikan impian untuk menunaikan haji selepas berjaya mengumpul RM10,000 dengan menyimpan RM1 hasil perniagaan kopi susu secara kecil-kecilan setiap hari.

BACA: Gaji RM800 Sebulan Mampu Kumpul RM12k Dalam 3 Bulan

Menurut Azwan, dia melihat pelbagai teknik untuk menyimpan wang yang dikongsikan di laman sosial dan tercetus idea untuk menyimpan wang kertas RM1. Katanya lagi, dia mula mengumpul RM1 sejak 15 Ogos tahun lalu.

“Jadi saya terfikir untuk melakukan teknik sama. Setiap hari, saya akan menyimpan not RM1 hasil perniagaan kopi susu secara kecil-kecilan, ke dalam tin buruk yang dijadikan tabung.

“Tanpa saya sedar wang yang dikumpul sudah mencecah jumlah yang diinginkan dan apa yang penting kita perlu ada disiplin yang kuat dalam menguruskan wang agar tidak tersasar dari tujuan asal,” katanya kepada Harian Metro.

Dia yang juga penuntut peringkat sarjana Sains Politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, selepas 5 bulan menyimpan dan tabungannya mencecah RM10,000, dia terus mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaun simpanan Tabung Haji.

Katanya lagi, dia berharap tips yang dikongsikan ini dapat memberi inspirasi kepada mereka diluar sana yang berazam untuk menyimpan wang. Mungkin anda boleh lakukan secara perlahan-lahan, bak kata peribahasa sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Pening Kepala Pekena Butter Beer?