Pernahkah anda mendengar tentang herba Yarsagumba? Sejak akhir-akhir ini sedang hangat diperkatakan tentang herba yang harganya lebih mahal dari emas.

Jadi apa sebenarnya herba Yarsagumba ini? Kami senaraikan beberapa perkara mengenai herba yang terkenal sebagai Viagra Himalaya ini.

Herba ini juga dikenali sebagai ‘ubat ajaib’

Sekali pandang herba ini kelihatan seperti herba biasa, dan tak ubah seperti ubi kunyit. Tapi sebenarnya herba ini pada asalnya adalah seekor ulat beluncas.

Yarsagumba merupakan herba luar biasa yang tumbuh di padang rumput pada ketinggian melebihi 3,500 meter dari aras laut di kawasan pergunungan Himalaya iaitu di negara Nepal, Tibet, Bhutan dan India.

Yarsagumba ataupun nama saintifiknya Ophiocordyceps adalah sejenis kulat yang menyerang kepompong serangga dikenali sebagai “entomogenous fungus”.

Sebelum musim hujan bermula, spora dari cendawan cordyceps menjangkiti kepala ulat beluncas yang tinggal di bawah tanah.

Kemudian secara beransur-ansur spora kulat itu akan tumbuh dalam badan ulat beluncas tersebut lalu membunuhnya dan ianya tumbuh sebagai herba yang dinamakan Yarsagumba.

Secara teknikalnya herba ini adalah gabungan kulat,kepompong dan saki baki ulat, dan atas faktor inilah kandungan sebatian kimia yang terdapat pada herba ini agak unik.

Musim menuai emas Yarsagumba

Dolpa, sebuah daerah terpencil di Nepal Barat dengan lembah-lembah yang curam tinggi dan beriklim kering merupakan salah satu daerah terkemuka bagi herba terkenal, Yarsagumba.

Setiap tahun pada bulan Mei dan Jun, ribuan penduduk akan datang ke Dolpa untuk menuai Yarsagumba.

Bagi keadaan yang lebih ekstrem, banyak sekolah di pedalaman Nepal lengang dan sesi persekolahan terpaksa dihentikan selepas para penduduknya keluar untuk menuai Yarsagumba.

Manakala di luar bandar Tibet pula, Yarsagumba juga di sebut yartsa gunbu telah menjadi sumber pendapatan tunai yang paling penting. Herba ini telah menyumbang 40% daripada pendapatan tunai tahunan kepada isi rumah tempatan dan 8.5% kepada KDNK pada tahun 2004.

Harga bagi herba ini telah meningkat secara berterusan, terutama sejak lewat tahun 1990-an. Pada tahun 2008, satu kilogram herba Yarsagumba ini  berharga 3,000 Dolar (kualiti terendah) dan kian meningkat hingga mencecah  18,000 Dolar Amerika (kualiti terbaik, larva terbesar).

Dalam satu laporan agensi berita BBC, seorang penjual Yarsagumba berkata harga bagi satu kilogram Yarsagumba boleh mencecah sehingga AS$100,000 (RM406,014) di pasaran antarabangsa seperti di China, Korea Selatan, Thailand, Jepun, England dan Amerika Syarikat.

Di sebabkan reputasi  Yarsagumba sebagai herba yang bernilai tinggi, konflik perebutan hak menuai Yarsagumba antara kampung sering berlaku dan amat membimbangkan.

Pada bulan November 2011, mahkamah di Nepal telah mensabitkan 19 orang penduduk kampung atas pembunuhan sekumpulan petani semasa berperang merebut hak menuai Yarsagumba.

Khasiat sebenar Yarsagumba

Penduduk tempatan percaya Yarsagumba adalah ubat ajaib. Herba ini didakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit bermula asma sehinggalah kanser.

Namun, salah satu khasiat Yarsagumba yang paling menonjol ialah ia dijadikan sebagai ubat kuat lelaki. Maka tidak hairanlah mengapa herba ini digelar viagra Himalaya.

Difahamkan, Yarsagumba mendapat permintaan tinggi di China dan negara Asia lain.

Banyak kajian telah dilakukan tentang khasiat herba ini dan antara penemuan tersebut berkenaan dengan kesan antikeradangan, antipembiakan sel, antioksidan, mengurangkan gula darah, kesan imunomodulator, kesan ke atas sistem pernafasan, kesan melindungi buah pinggang, memperbaiki denyutan jantung, perlindungan hati, dan menurunkan kolesterol.

Penggunaan herba Yarsagumba sebagai ubat rakyat dipercayai berasal dari Tibet dan Nepal. Setakat ini, teks tertua yang didokumenkan telah ditulis pada akhir abad ke-15 oleh sdeorang doktor dari Tibet Zurkhar Nyamnyi Dorje.

Dalam perubatan tradisional Cina, ia dianggap mempunyai keseimbangan yang sangat baik kerana ia dianggap terdiri daripada haiwan dan sayur-sayuran.

Di China, mereka kini menanam herba ini pada skala perindustrian bagi memenuhi permintaan khususnya pada pengamal perubatan tradisional Cina.

Artikal Berkaitan

Ini Susah Payah Madu Tualang Dituai

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Kebab Gemok Tak Habis Makan Sorang

Sumber: SinarHarian, dribnusina