Wabak misteri coronavirus kini semakin membimbang apabila empat warga China yang datang ke Malaysia disahkan positif wabak tersebut. Terbaru, dua beradik warga China dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi kerana disyaki mempunyai gejala wabak coronavirus.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan yang masing-masing berusia empat dan dua tahun itu bersama-sama ibu bapa mereka dilaporkan datang ke Pulau Langkawi sejak Jumaat lalu untuk bercuti.

BACA: Pasangan Warga China Bawa Lari Anak Selepas Dikesan Ada Gejala Coronavirus

Setakat ini, dua kanak-kanak perempuan itu hanya disyaki sahaja dan pihak hospital sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap simptom yang ada pada mereka. Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mereka tidak menunjukkan sebarang tanda berkaitan wabak tersebut.

Sementara itu, tujuh anak kapal pesawat Malindo Air dikuarantin selama 14 hari berikutan salah seorang penumpang dalam penerbangan itu disyaki dijangkiti coronavirus.

Malindo Air dalam satu kenyataan berkata penumpang dari wilayah Hubei menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Zhengzhao, China pada 24 Januari lalu.

Menerusi kenyataan itu lagi, Malindo Air berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan menyediakan semua bantuan yang diperlukan kepada kru serta pihak berkuasa China untuk meminimumkan penyebaran wabak ini.

Saringan ujian kesihatan penumpang dan kawalan lebih ketat ke atas pergerakan penumpang dari China juga sedang dilakukan. Malah, semua penumpang dari China terutama wilayah Hubei mesti mengemukakan sijil perubatan untuk membuktikan mereka layak terbang.