Isu mengenai penggunaan tulisan jawi pada ketika ini sangat rancak dibincangkan. Bermula dari pelbagai badan yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan perkara tersebut di sekolah sehinggalah ia turut membawa kesan kepada perniagaan.

BACA: “Perempuan Tak Tutup Aurat Memang Layak Dicabul, Dizina”

Tidak dapat dinafikan, melalui pelbagai platform sosial media ketika ini, ramai yang bebas mengutarakan pendapat – samada berunsur positif mahu pun provokasi mengenai isu tulisan jawi ini.

Bagaimanapun, apabila ia melibatkan perniagaan dan berpaksikan keuntungan, tulisan jawi ini jugalah antara medium untuk memasuki pasaran Bumiputera atau pun ‘penambah rasa yakin’ buat pelanggan beragama Islam untuk membeli.

Inilah keistimewaan tulisan jawi pada label-label makanan dan juga barangan lain yang mudah membuatkan orang Islam terasa yakin untuk membeli.

Namun situasi ini jelas berbeza apabila ia ingin diperkenalkan di peringkat sekolah. Tulisan jawi umpama satu bahan asing pula sedangkan dari sudut untung rugi, tulisan ini umpama penarik untuk mendapatkan pelanggan.

Sehubungan dengan itu, pihak DEWAN Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) dan juga PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sama-sama menyokong agar pengusaha bukan Muslim dilarang menggunakan tulisan jawi pada bungkusan produk mereka.

Melalui laporan Harian Metro tersebut, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menjelaskan bahawa sudah tiba masanya pengguna membuat pilihan yang lebih bijak.

“Produk bukan Islam hendaklah dilarang sama sekali daripada menggunakan tulisan jawi pada bungkusan, iklan, papan tanda kedai dan apa jua label perniagaan bukan Islam”

“Sudah tiba masanya kita membezakan yang mana produk Islam dan mana produk bukan Islam supaya pengguna boleh membuat pilihan yang lebih bijak,” jelasnya.

Tambah Nadzim, penggunaan tulisan jawi, lambang masjid serta nama Islamik sebagai jenama produk sebagai teknik pengiklanan dan pemasaran boleh menimbulkan kekeliruan dan membuatkan pelanggan tertipu.