SURUHANJAYA Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) mengenakan penalti kewangan sebanyak SGD6,419,647 (kira-kira RM19,431,000) ke atas Grab dan SGD6,582,055 (RM19,921,000) ke atas Uber bagi menghalang penggabungan yang menjejaskan persaingan.

Dalam satu kenyataan bertarikh 24 september 2018, CCCS berkata, dalam mengenakan denda itu, ia mengambil kira jumlah dagangan kedua-dua syarikat, sifat, tempoh dan keseriusan pelanggaran, faktor lain seperti sama ada Grab dan Uber memberi kerjasama.

Ini adalah sebahagian daripada Keputusan Pelanggaran CCCS terhadap Grab dan Uber berhubung penjualan perniagaan Asia Tenggara Uber kepada Grab untuk kepentingan 27.5 peratus dalam Grab sebagai pertukaran.

Penggabungan berkenaan membawa kepada pengurangan persaingan

CCCS mendapati transaksi berkenaan membawa kepada pengurangan persaingan yang ketara dalam penyediaan perkhidmatan platform e-hailing di Singapura.

Pada 27 Mac 2018, CCCS memulakan penyiasatan atas asas bahawa transaksi itu mungkin melanggar Akta Persaingan sebagai penggabungan anti-persaingan.

CCCS mencadangkan Arahan Langkah-Langkah Sementara pada 30 Mac 2018 dan memuktamadkannya pada 13 April 2018 untuk mengurangkan kesan transaksi tersebut kepada pemandu dan penumpang, sambil meneruskan siasatan.

Pada 5 Julai 2018, CCCS menyelesaikan siasatannya dan mengeluarkan Keputusan Pelanggaran Dicadangkan terhadap kedua-dua pihak dan mempelawa maklum balas orang ramai mengenai kemungkinan penyelesaian untuk menangani kemudaratan terhadap persaingan berikutan transaksi berkenaan.

Grab ambil alih Uber Asia Tenggara

Pada Mac lepas, GRAB mengumumkan pengambilalihan operasi Uber Asia Tenggara secara rasmi daripada Uber Technologies Inc.

Perjanjian itu akan menyaksikan Grab melaksanakan integrasi dengan perniagaan perkongsian perjalanan dan penghantaran makanan Uber di rantau ini melalui platform pengangkutan.

MyCC juga turut siasat penggabungan Grab dan Uber

Pada 13 Julai 2018, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi perhatian terhadap isu penggabungan Grab dan Uber termasuk aduan kenaikan tambang dan monopoli dalam perkhidmatan e-hailing.

KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu akan disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), agensi kementerian yang mempunyai kuasa untuk sebarang tindakan menerusi Akta Persaingan 2010.

“MyCC mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak apabila penggabungan menyebabkan terbentuknya monopoli di dalam pasaran. Monopoli itu menyalahgunakan kedudukan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 10 Akta Persaingan 2010,” katanya.

Selain itu, KPDNHEP berkata, pemakluman mengenai tindakan MyCC juga sudah dibentangkan kepada kementerian.

“Ia berhubung langkah konkrit ke arah penyiasatan berskala penuh selepas membuat penilaian terhadap aduan dan menjalankan analisa maklum balas oleh Grab dan Uber yang diterima MyCC awal minggu ini,” katanya.

Apa objektif akta persaingan?

Tujuan utama Akta Persaingan ini adalah untuk menggalakkan dan melindungi proses persaingan antara firma di pasaran. Persaingan mampu menghasilkan kecekapan dan inovasi (persaingan yang sihat).

Persaingan ini juga menggalakkan firma mengambil inisiatif untuk meningkatkan tahap kecekapan dan inovasi bagi menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatanpada harga yang murah dan kualiti yang tinggi dalam pasaran tertentu.

Objektif Akta Persaingan 2010 adalah untuk melindungi proses persaingan dengan melarang sebarang tindakan antipersaingan. Peruntukan di bawah akta tersebut terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu larangan terhadap perjanjian antipersaingan (seksyen 4) dan larangan daripada menyalahgunakan kuasa dominan.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Menangis Makan Spaghetti Masak Lemak Cili Padi Berapi 🔥🔥🔥

Sumber: HarianMetro