Jika anda melihat serangga kecil yang secara zahirnya kelihatan seperti semut, tetapi mempunyai badan berbelang berwarna hitam anda seharusnya berhati-hati dengan serangga ini kerana ia mempunyai bias dan sangat berbahaya.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, serangga ini turut masyhur dengan nama semut semai atau Charlie. Namun pada hakikatnya, Charlie bukanlah dikategorikan dalam spesies semut, tetapi haiwan ini merupakan sebahagian daripada keluarga kumbang.

Kebiasaannya, kumbang ini akan merangkak di kawasan sekeliling dengan menyembunyikan sayapnya. Dalam situasi tertentu, sekiranya merasa terancam, kumbang ini akan mengangkat abdomennya ke atas menyerupai kala jengking untuk menakutkan musuhnya.

Namun serangga ini kembali menghantui masyarakat kita apabila telah tular di media sosial gambar dua kanak-kanak telah cedera disengat oleh serangga ini.

Bayi 11 bulan bengkak di bahagian mulut

Memetik laporan akhbar Harian Metro semalam, bayi 11 bulan bengkak di bahagian mulutnya selepas digigit semut charlie ketika tidur di rumahnya di Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Pekan, minggu lalu.

Gigitan semut itu yang nama saintifiknya Staphylinidae turut menyebabkan mulut bayi berkenaan, Muhammad Iffat Iskandar Mohd Babudin, bernanah sehingga dia sukar minum susu selama beberapa hari.

Ibunya yang juga anggota Unit Semboyan dan Komunikasi IPD Pekan, Koperal Nurul Nazirah Zainol berkata, anaknya itu dipercayai digigit semua charlie kira-kira 12 tengah malam Ahad lalu, ketika tidur di rumah mereka yang terletak di tingkat empat kompleks perumahan itu.

“Kami menyedarinya digigit semut charlie kira-kira 3 pagi selepas dia mula merasa gatal-gatal menyebabkannya tidak selesa, kami membawanya ke Hospital Pekan dan menerima rawatan biasa.

“Pada mulanya keadaannya agak membimbangkan, mulutnya bengkak dan bernanah menyebabkannya susah hendak minum susu, namun sekarang keadaan bertambah baik…bahagian bengkak sudah mulai kering,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, semalam.

Turut menerima nasib sama adalah jirannya di tingkat enam iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan, Adriella Angel Stenley yang turut digigit semut charlie di bahagian matanya pada malam sama, namun keadaannya juga bertambah baik.

Gambar Muhammad Iffat dan Adriella Angel tular di media sosial yang meminta ibu bapa berhati-hati dengan gigitan semut charlie kerana ia boleh memberi kesan seperti bengkak, sakit dan gatal terutama kepada kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Nurul Nazirah berkata, ia bukan kali pertama penghuni di kompleks perumahan berkenaan digigit semua charlie, namun keadaannya tidak seteruk menimpa Muhammad Iffat dan Adriella Angel.

“Kalau gigit orang dewasa kesannya tidak teruk sangat. Memang di sini ada semut charlie kerana dahulunya perumahan ini adalah kawasan hutan, malah masih ada hutan di belakang kompleks ini. Saya difahamkan Jabatan Kesihatan Daerah Pekan akan melakukan semburan kabus bagi membunuh semut charlie pada malam ini, semburan bukan sahaja dalam rumah tetapi kawasan sekeliling,” katanya.

Toksin Charlie dikatakan 12 kali ganda lebih berbisa berbanding bisa ular tedung

Walaupun hanya bersaiz kecil, namun serangga ini mampu memberi kesan yang teruk kepada manusia sekiranya terkena bisanya. Dalam badan kumbang ini tersimpan cecair hemolimf atau toksin yang disebut sebagai ‘pederin’ (C24H43O9N).

Toksin ini dikatakan 12 kali ganda lebih berbisa berbanding bisa ular tedung (Cobra). Malah, kumbang ini walaupun setelah dikeringkan dan disimpan selama 8 tahun masih kekal beracun.

Toksin ini sekiranya terkena pada bahagian kulit tubuh badan manusia, akan menyebabkan ‘dermatitis linearis‘, ‘paederus (kumbang rove/ staphylinidae) dermatitis‘.

Ini beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan

Kumbang ini tidaklah menyengat atau menggigit tetapi mengeluarkan toksinnya apabila dipicit atau ditekan. Toksinnya juga boleh dirembeskan pada tempat-tempat lain seperti cadar, baju atau pakaian lain.

Sekiranya anda melihat kumbang ini hinggap di tangan, jangan menjerit atau berteriak kerana ini akan menyebabkan kumbang ini merasa terancam dan merembeskan toksin secara automatik. Sebaiknya kumbang ini ditiup sehingga pergi atau dibuang menggunakan alat atau tangan yang ditutupi plastik. Setelah itu, basuh tangan anda dengan air dan sabun.

Antara kesan setelah terkena toksin adalah apabila anda merasa gatal-gatal dan kulit anda berubah menjadi merah dan bernanah. Sekiranya keadaan menjadi lebih teruk, anda dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Untuk mengelakkan gangguan serangga ini, pelbagai langkah pencegahan boleh diambil. Antaranya, tutup semua pintu dan tingkap serta matikan lampu apabila tidak digunakan.

Hal ini disebabkan kumbang ini sangat suka tempat yang terang dan bercahaya. Selain itu, elakkan daripada memakai pakaian yang terlalu terdedah untuk mengelakkan sentuhan secara langsung dengan serangga ini.

Aerosol anti serangga, perangkap berpelekat dan kelambu nyamuk yang halus juga boleh digunakan.

ARTIKEL BERKAITAN:
Menteri Dedah Perangai Mahathir Ketika Mesyuarat
Hujan Lebat Diramal Mulai Hari Ini Hingga November

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

FOOD PARK Dalam The Curve? (27-30 September 2018)😍😍

Sumber: HarianMetro, ekpkm.org