Setiap kali bulan Ramadan dan Syawal tak sah rasanya kalau tiada ketupat palas khususnya di Terengganu. Rasa enak pulutnya yang dikukus dengan santan dan dibalut dengan daun palas, membuatkan ramai orang gemarkan ketupat ini.

Kalau ikutkan, di Kuala Lumpur agak susah nak jumpa ketupat palas. Selalunya kebanyakan peniaga menjual ketupat biasa sahaja.

BACA: Jom Belajar Anyam Ketupat Sebelum Raya Tiba

Namun bagi Zainab Awang, 61 tahun, pembuat ketupat palas dari Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus, walaupun sukar untuk dapatkan daun palas, namun wanita ini tidak putus asa memandangkan ia mata pencarian sekeluarga sejak 18 tahun lalu.

Menurut Zainab, pada awalnya dia tidak pandai membuat ketupat palas, namun dia nekad untuk belajar sehingga berjaya. Kemudian bermulalah jualan ketupat palas buatannya sehingga ada yang menempah untuk dibawa ke luar negara.

“Mula-mula tak ramai orang suka. Tetapi lama-kelamaan ketupat palas mak cik semakin mendapat sambutan hinggakan ada menempahnya untuk dibawa pulang termasuk dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur. Malah ada dibawa ke Arab Saudi,” katanya.

Pada bulan Ramadan kali ini, purata pendapatan jualan ketupat palas diperoleh lebih RM180 sehari.

Walaupun banyak persaingan pembuat ketupat palas lain di sekitar Kuala Terengganu dan kampungnya, Zainab kekal jual ketupat dengan harga 50 sen sebiji meskipun berdepan kenaikan harga barangan.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

VITDAILY ORIGINALS: Dari Tukang Kasut Kini Jadi Lemang To’Ki