Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Peribahasa tersebut sesuai dengan lelaki ini yang sanggup mencuri durian untuk dijual.

Memetik laporan China Press, kejadian yang berlaku pada Selasa lalu di Kampung Tengah, Segamat apabila seorang lelaki berusia 34 tahun di tahan oleh pihak polis selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Pihak polis bertindak menahan lelaki tersebut yang memandu kereta Perodua Kembara ketika meronda kawasan berkenaan.

Suspek segera menghidupkan enjin kereta apabila melihat kereta polis menghimpirinya. Namun, cubaannya untuk membawa lari durian yang dicuri gagal apabila suspek kantoi sendawa bau durian di hadapan anggota polis tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati, berpuluh biji durian didapati di dalam kereta tersebut. Kereta yang dibawa oleh suspek juga pernah dilaporkan hilang beberapa minggu lalu dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurut Ketua Polis Segamat, suspek menafikan dakwaan bahawa dia mencuri durian tersebut dan memberitahu dia alah dengan bau durian.

Tambah pihak polis lagi, durian Musang King yang dicuri oleh suspek bernilai lebih RM450.

Sumber: World of Buzz