Apabila tibanya musim menunaikan haji, pasti ramai sudah berniat mahu menjalankan rukun Islam ke-5 itu di usia muda, ketika tubuh badan masih sihat dan bertenaga.

Namun semua sedia maklum, untuk menunggu giliran menunaikan haji boleh mencecah berpuluh-puluh tahun lamanya. Namun sebenarnya tiada apa yang mustahil.

BACA: Anak Merayu Pulangkan Semula Duit Bapa Untuk Naik Haji

Lelaki ini Afyan Mat Rawi kongsikan tip bagaimana untuk rebut peluang menunaikan haji di usia muda kerana dia telah berpeluang untuk melakukan ibadah tersebut.

1. Daftar

Paling penting, daftar terlebih dahulu melalui Tabung Haji. Ada yang menyangka dengan membuka akaun Tabung Haji, bermakna sudah mendaftar untuk menunaikan haji. Tapi sebenarnya bukan begitu. Untuk membuka akaun TH, hanya perlukan minimum simpanan RM2 sahaja. untuk mendaftar giliran menunaikan haji pula, memerlukan minimum simpanan RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji. Selepas itu barulah layak untuk mendaftar bagi memohon giliran menunaikan haji.

Jika sebulan kita simpan RM100, hanya memerlukan setahun sebulan sahaja untuk cukup RM1,300. Kita juga boleh gunakan wang KWSP untuk tujuan ini.Dan jika baru hendak daftar sekarang, giliran menunaikan haji sekitar 50 tahun akan datang.

Ya, 50 tahun akan datang. Jadi, usah bertangguh untuk mendaftarkan giliran haji. Jika ada anak yang masih kecil, daftar cepat-cepat. Supaya mereka tidak menerima nasib seperti kita menunggu lama untuk menerima panggilan Baitullah.

2. Simpanan

Kos sebenar untuk menunaikan haji ialah RM19,550. Kita di Malaysia bertuah kerana lebih separuh ditanggung oleh Tabung Haji. Kita hanya perlu membayar RM9,980 apabila hendak menunaikan haji kelak. Selebihnya ditanggung oleh TH.

Jika dibandingkan dengan negara-negara serantau lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei yang amaunnya RM20,000 ke atas.

Langkah seterusnya adalah memastikan kita mempunyai sekurang-kurangnya RM9,980 di dalam akaun Tabung Haji untuk tujuan menunaikan haji. Tidak sampai pun RM10,000.
Jika sebulan kita simpan RM100, kira-kira 7 tahun selepas kita daftar haji, duit kita akan cukup RM9,980 dengan anggaran keuntungan purata TH 6%

3. Rayuan

Langkah seterusnya, ialah membuat rayuan untuk menunaikan haji. Secara normal, tempoh menunggu untuk mendapat giliran menunaikan haji boleh mencecah sehingga 50 tahun.

Tempoh ini adalah untuk jemaah yang ingin menunaikan haji menggunakan perkhidmatan Tabung Haji melalui mu’assassah Arab Saudi. Jadi, hendak tak hendak, kita perlu usahakan untuk merayu supaya giliran itu dipercepatkan. Sebab dalam tempoh 10 ke-50 tahun, macam-macam perkara boleh berlaku.

Untuk mempercepatkan giliran, kita perlu buat rayuan ke Tabung Haji. Selalunya 3-4 bulan sebelum musim haji bermula, pihak Tabung Haji mula memproses surat-surat rayuan dan menghantar surat balas. Jadi, kita perlu menghantar surat rayuan lebih awal. Sebaiknya selepas tamat musim haji, boleh siapkan surat rayuan untuk dihantar.

Pengalaman peribadi, saya mula buat rayuan kira-kira 5 – 6 tahun lepas apabila wang di dalam akaun sudah cukup untuk membayar kos menunaikan haji kira-kira RM10,000. Dan setiap tahun juga apabila menerima surat balasan rayuan ditolak oleh Tabung Haji, kami akan hantarkan surat baru ke Tabung Haji untuk merayu menunaikan haji.

Alhamdulillah, setelah beberapa tahun merayu akhirnya rayuan kami diterima.

Setiap tahun pasti ada kuota yang kosong atas pelbagai sebab seperti;

– bakal jemaah haji meninggal dunia,
– bakal jemaah haji mengandung,
– bakal jemaah haji mempunyai masalah kesihatan
– bakal jemaah haji menolak atau pelbagai sebab
– kuota ditambah

Sebaiknya rayuan dilakukan apabila kita sudah cukup wang simpanan untuk membiayai kos haji tadi supaya ada kredit untuk Tabung Haji menerima rayuan kita.

4. Datang kursus haji

Ini tips yang saya terima daripada seorang rakan yang juga jemaah haji. Apabila kita menghadiri kursus haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji melalui masjid-masjid dalam kariah kita, nama kita akan dimasukkan dalam senarai kehadiran.

Jadi, ia memberi kredit kepada kita apabila pihak Tabung Haji membuat penilaian terhadap rayuan haji kita. Perkara ini tidak pernah saya sahkan dengan Tabung Haji. Ia berdasarkan pengalaman peribadi seorang jemaah yang saya temui.

5. Doa

Ini merupakan harapan utama dan terakhir jika kita benar-benar berhasrat untuk menunaikan haji. Pergantungan kepada ALLAH adalah segala-galanya. Sebaik sahaja kita sudah cukup wang di dalam akaun Tabung Haji, berdoalah supaya ALLAH memanggil kita menemui-Nya.

Jadi, jangan berhenti berdoa. Allah pun sudah berjanji akan memakbulkan doa hamba-Nya, dengan pelbagai cara.

Diharap perkongsian oleh Afyan ini dapat memberi manfaat kepada semua dan diharap kita juga berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan menjadi tetamu Allah.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Lubuk Nasi Ngidey Resepi 4 Generasi 🔥🔥