Sekarang ini banyak jenis pil yang dijual di pasaran kononnya boleh mengubah minda dan perlakuan anak-anak. Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana pengambilan pil boleh meransang minda anak-anak.

Pelik apabila ramai ibu bapa yang percaya dengan ‘pil minda’ kononnya boleh mengubah anak jadi lebih baik. Lebih mengejutkan cikgu-cikgu juga turut menjual produk tersebut. Jangan mudah sangat terpedaya, ibu yang juga seorang doktor Dr. Rusyainie Ramli berikan ulasan tentang isu ‘pil minda’ yang semakin berleluasa.

BACA: Viral Kerana Tun M, Berocca Hanya Membazir?

Pil nak bagi anak jadi malaikat?

Cikgu-cikgu, saya sebagai mama nak minta tolong. Walaupun cikgu-cikgu di sekolah anak-anak saya tak jual produk nak bagi budak jadi malaikat, saya harap sangat cikgu-cikgu lain jangan lah tergolong dalam bani pil macam ni. Atau pun jangan benarkan bani suplemen minda ni jejakkan kaki pun ke sekolah.

Kebanyakan cikgu-cikgu yang saya kenal dan rapat tidak begini. Mereka pentingkan etika. Tapi kerana ada segelintir yang tamak haloba, habis terpalit nama cikgu-cikgu yang profesional.

Cikgu yang jual pil minda, semua ibu-ibu akan senang terpengaruh

Mama macam saya menghantar anak ke sekolah dengan harapan cikgu-cikgu bantu saya mendidik dan mengajar anak-anak saya bab pelajaran. Saya ni walaupun kerja profesional, tapi kalau tengok silibus anak-anak, saya pun boleh menangis. Memang mencabar betul tahap kehendak sistem pendidikan sekarang. Hanya cikgu-cikgu saja yang boleh tunjuk ajar yang betul supaya anak-anak saya mendapat ilmu seperti yang sepatutnya dan menjawab peperiksaan dengan baik.

Cikgu-cikgu, bukan semua mama mampu nak keluarkan duit nak beli produk macam ni. Mahal tu cikgu. Memang lah cikgu tak paksa, tapi kalau dah namanya yang menjual tu cikgu, mama mana-mana pun akan senang terpengaruh dan terpedaya.

Sedangkan jauh di sudut hati, cikgu-cikgu sendiri mengetahui yang tiada kejayaan itu datang bergolek, atau terbang melayang kalau tidak diiringi dengan usaha yang tidak mengenal jemu dan penat, sokongan dari mama dan papa itu, dan doa kepada Allah SWT. Saya seperti mama lain pun, mengharapkan cikgu-cikgu lah sumber rujukan anak-anak untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Cikgu-cikgu mesti sedar mana mungkin pil boleh ubah anak-anak

Saya minta maaf dari lubuk jiwa saya yang paling dalam. Saya sedar akan kekurangan dan kelemahan saya sebagai mama dalam membentuk sahsiah anak-anak sendiri sehinggakan cikgu-cikgu terpaksa menyuruh anak-anak saya mengambil pil minda ni. Alasan cikgu-cikgu, supaya anak-anak saya jadi lebih baik kelakuannya dan perangainya. Tapi cikgu-cikgu mesti menyedari yang produk yang begini mana mungkin boleh mengubah anak-anak saya menjadi taat dan patuh. Tak mungkin. Nak memperbaikinya mesti datang dari kita sama-sama untuk membimbing mereka.

Cikgu-cikgu, apa juga bahan yang ada dalam suplemen tu takkan sama dengan makanan yang saya sediakan untuk anak-anak. KKM dah siapkan garis panduan untuk pemakanan sihat dengan menggunakan makanan sebenar. Allah dah kurniakan gigi, mulut, lelangit, lidah semua tu untuk manusia menggigit dan mengunyah makanan. Bukan setakat telan terus untuk khasiat macam pesakit yang lumpuh. Itu namanya kufur nikmat tu ya cikgu-cikgu.

Dah la mahal, lebih baik cikgu tolong sama bentuk anak kami

Duit dalam poket mama lain mungkin tak setebal mana. Duit belanja dapur cukup-cukup nak bagi makan pada anak-anak yang ada. Kalau cikgu-cikgu nak mama tu belikan produk konon magik ni, manalah nak korek duit lagi. Baik mama tu dapatkan makanan sebenar, satu keluarga boleh hadapnya.

Cikgu-cikgu tolonglah saya dan mama-mama lain di luar sana dengan bersama-sama membentuk anak-anak kami menjadi insan. Bukan senang nak memanusiakan manusia. Anak-anak ini amanah Allah SWT dan saya tak mampu nak tunaikan tanggungjawab ni seorang. Cikgu-cikgulah tempat kami meminta bantuan. Tapi yang nyata, cikgu-cikgu ya, produk begini memang layaknya ke tong sampah saja. Bukan ke mulut anak-anak kami.

Buat ibu bapa di luar sana,  anda sepatutnya membentuk anak-anak anda dan bukannya pil minda. Diharap perkongsian dan luahan dari seorang ibu ini mampu membuka mata ibu bapa lain yang terlalu bergantung pada produk sampah tersebut.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Bila Tak Sabar Nak Makan Benda Panas