Seorang pesara pegawai tentera sanggup memerah keringat membina sebuah surau untuk pekebun dan penoreh getah di Bukit Kachi, Sintok, Kedah.

Namun apa yang menarik tentang surau tersebut adalah ianya dibina menggunakan batu sungai. Mejar (B) Mustapa Musa, 58, memulakan pembinaan surau itu sejak April tahun lalu, dibantu seorang kenalannya.

BACA: “Pelaku Ini Macam Orang Gila” – Kes Dua Surau Dicampak Daging Babi

Batu-batu sungai tersebut dikutip dari sebatang sungai terletak kira-kira 50 meter dari tapak surau dan menyusunnya menjadi dinding.

Surau diberi nama Surau Batu Sungai Bukit Kachi itu dibina dengan keluasan 7.6 meter lebar dan 10.6 meter panjang atas tanahnya sendiri dalam kawasan kebun getah.

“Bukan sebarang orang boleh buat surau ini kerana perlu mengutip jumlah batu yang banyak, namun semua perasaan itu hilang apabila ada yang datang bersolat di sini dan rasa sangat bersyukur kerana proses pembinaannya berjalan lancar,” katanya.

Mustapa berkata, kira-kira 13,000 batu sungai digunakan dan surau itu turut dilengkapi dengan sebuah bilik air dan dewan terbuka untuk kegunaan orang ramai.

Selain itu, Mustapa berkata beliau turut membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk peralatan dan bahan binaan lain untuk surau tersebut.

Mustapa mengakui pembinaannya agak rumit, namun beliau bertekad menyiapkan demi memenuhi impiannya memiliki surau sendiri serta mahu ​​​​​​​menginfakkannya untuk kedua ibu bapanya.

Surau yang dibina di atas tanah hampir satu hektar itu mampu memuatkan hampir 85 orang jemaah pada satu-satu masa.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Ini Lubuk Orang Pantai Timur Pekena Air Asam Perut