Baru saja selesai menjalani hukuman penjara Jun lalu, atas kesalahan menyumbat cili hijau ke dalam mulut seorang kanak-kanak sehingga mati tercekik, seorang pengasuh dihantar semula ke penjara selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya, menambah hukuman penjaranya kepada 10 tahun lagi.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel tiga hakim berpendapat hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan ke atas responden, Asmarani Ghazali sebelum ini tidak mencukupi.

BACA: Bayi 2 Tahun Maut Dicili Mulut, Pengasuh Dipenjara

Hakim Yaacob berkata hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini terkhilaf dalam membuat keputusan apabila menimbang kepentingan responden melebihi kepentingan awam.

Asmarani diarahkan menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh dia ditangkap pada 21 Jun 2018. Asmarani, 40, telah dibebaskan dari penjara pada 21 Jun lalu, selepas dia selesai menjalani hukuman penjara 18 bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas Asmarani. Beliau turut menyifatkan tindakan wanita itu meletakkan cili hijau ke dalam mulut Muhammad Afif Kamarol Azli berusia dua tahun setengah, hanya kerana mangsa merengek, adalah sangat keterlaluan.

Mengikut fakta kes, kanak-kanak itu tidak berhenti merengek walaupun telah dipujuk oleh Asmarani. Difahamkan, kanak-kanak itu hanya mahukan perhatian kerana dia tidak sihat.

Asmarani kemudian mengambil cili hijau dari peti sejuk, mematahkannya menjadi separuh dan memasukkannya ke dalam mulut kanak-kanak itu untuk membuatnya berhenti merengek.

Bagaimanapun kanak-kanak tersebut kemudian mengalami kesukaran untuk bernafas, terus dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu adalah kerana tercekik.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Pisang Goreng & Sambal Kicap, Ngam Tak? #FavouriteOrangJohor