Siapa sangka hanya kerana si bapa menegur kerana menghabiskan keropok lekor yang dibeli, seorang lelaki tergamak mengugut mahu membunuh bapanya.

Lelaki tersebut, Wan Adib Fawwaz Wan Mohd Fauzi, 19, yang merupakan tukang gunting, bagaimanapun mengaku tidak bersalha di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Rabu lalu.

BACA: Ini Resepi Keropok Lekor Viral, Hanya Guna Mi Sedap

Memetik laporan Berita Harian, Wan Adib dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas didakwa mengacukan pisau ke arah bapanya, Wan Mohd Fauzi Wan Yusof, 46, sebelum mengugut mahu menikamnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan tersebut di rumah mereka di Kampung Terbauk, jam 10 malam pada 20 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, dalam kejadian itu, bapanya Wan Mohd Fauzi menegur tertuduh yang menghabiskan keropok lekor tanpa menghiraukan ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, teguran itu membuatkan tertuduh naik angin kemudian mengambil sebilah pisau di dalam biliknya sebelum mengacukannya ke arah mangsa dan mengugut mahu menikam bapanya.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Pening Kepala Pekena Butter Beer?