Semalam, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kes bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal yang maut selepas dua hari dilaporkan tenat akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan pukulan atau impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala bayi tersebut sehingga tempurung kepala pecah. Selain itu, hasil pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati ada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa, dan dubur mangsa.

BACA: Bayi Hilang Ditemui Mati Dalam Peti Sejuk Pengasuh

Tak sangka selama ini anak dijaga suami pengasuh

Ibu mangsa Noraihan Ab Aziz, memberitahu dia mengakui terkejut apabila pihak polis memaklumkan bahawa selama ini anaknya dijaga oleh suami pengasuh sejak dihantar 21 September lalu

“Saya tidak sangka selama ini anak saya dijaga suami pengasuh, bukan wanita itu sendiri. Sebelum ini saya tidak bekerja, namun saya mendapat kerja di sebuah kilang di Bangi.

“Saya mengenali pengasuh melalui Facebook selepas dia menghubungi saya menerusi WhatsApp memaklumkan dia berminat untuk menjaga anak sulung, Muhammad Alif Zamani berusia lima tahun dan Zara dengan bayaran RM550 bagi setiap seorang dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

“Seminggu sebelum menghantar anak kepada pengasuh, saya ada berjumpa dengan pengasuh itu di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah kami di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.

“Ketika itu, dia memaklumkan akan menjaga anak saya seperti anaknya sendiri memandangkan dia sendiri mempunyai anak lelaki berusia satu tahun lapan bulan, namun lain pula jadinya,” katanya kepada BH Online.

Menangis apabila melihat suami pengasuh

Noraihan berkata, dia menyedari terdapat kesan lebam pada lengan, paha dan dahi Zara, dua minggu lalu. Katanya lagi, sebelum kejadian dia dimaklumkan anaknya itu menangis apabila
melihat suami pengasuh.

“Pengasuh memberitahu kesan lebam itu akibat digigit anak lelakinya. Malah, bibir dan gusi Zara mula membengkak menyebabkan dia tidak mahu menyusu serta kerap menangis. Keadaan Zara menyebabkan kami tidak menghantar dia ke rumah pengasuh bagi tempoh beberapa hari selepas itu.

“Saya dan suami kemudian menghantar kedua-dua anak ke rumah kakak di Klang, namun Zara kerap menangis menyebabkan saya terpaksa menghantar semula dia ke rumah pengasuh pada Rabu lalu.

“Sebelum kejadian kira-kira jam 9 pagi (Rabu lalu), saya sempat menghantar mesej menerusi WhatsApp bertanyakan mengenai keadaan Zara. Pengasuh memberitahu Zara tidak meragam apabila bersamanya, namun dia menangis apabila melihat suaminya.

“Saya tidak menyangka mendapat panggilan daripada doktor di Hospital Serdang yang memaklumkan anak sedang tenat. Saya dimaklumkan dia dihantar ke hospital berkenaan oleh pengasuh dan suaminya selepas Zara dikatakan tercekik epal,” katanya.

Dimaklumkan anaknya dikejarkan ke hospital kerana tercekik epal, bagaimanapun ketika dirawat, doktor memaklumkan terdapat kecederaan pada tempurung kepala kanak-kanak itu yang dikatakan pecah dengan lebam di bahagian berkenaan.

Dalam pada itu, walaupun reda dengan pemergian anaknya itu, Noraihan mahu pelaku tersebut menerima balasan setimpal atas perbuatan keji itu.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Restoran Tom Yam Paling Legend Di Ampang😱🔥