Semalam rakyat Malaysia dikejutkan dengan kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan seluruh negara turut berkabung di atas pemergian sultan berjiwa rakyat itu.

Selain itu, terdapat satu coretan yang ditulis oleh cucunda almarhum Sultan Kedah mengenai perjalanan hidupnya sebelum baginda mangkat membuatkan orang ramai sebak.

BACA: Sultan Kedah Mangkat

Cucu Sultan Kedah, Raja Sarina Iskandar memuatnaik gambar beserta coretan ringkas mengenai baginda di akaun laman sosial miliknya.

“Dedikasi Tuanku kepada Kedah dan Malaysia memberikan inspirasi kepada saya ketika membesar. Ketika Tuanku ditabalkan sebagai Agong buat kali kedia pada usia 83 tahun, saya ikut tinggal bersama di Istana Negara,” ujarnya.

“Ketika itu saya lihat pertama kali kehidupan di sebalik tabir Tuanku,” jelasnya sambil menyifatkan Malaysia dan Kedah kehilangan salah seorang raja ‘terhebat’.

“Siapakah orang yang berumur 80 tahun ke atas yang akan berbuat sebegitu? Kebanyakan daripada kita mengimpikan untuk bersara ketika berumur 50 tahun sekiranya boleh! Tapi Tuanku tidak boleh berbuat begitu sekalipun Tuanku mahu,” katanya.

“Dan kadang-kadang tidak ramai orang tahu bahawa Tuanku sedang gering, tapi Tuanku masih meneruskan tugas sebagai Agong dan Sultan,” sambungnya.

“Sekiranya boleh, Tuanku akan meninggalkan wad dan saya menonton di televisyen, melihat Tuanku beramah mesra dengan Perdana Menteri, para Menteri dan rakyat seperti biasa,” tambahnya lagi.

“Tapi, sebaik sahaja majlis itu tamat, Tuanku akan pulang ke wad hospital dengan tiub yang berselirat di badan. Walaupun gering, Tuanku tetap akan menepati masa. Tuanku tidak akan biarkan sesiapa menunggu,” ujarnya.

“Inilah sisi seorang Raja (Tuanku) yang tiada siapa tahu. Tuanku tidak hanya bersemayam di atas takhta sambil menikmati kekayaan biarpun apa yang orang ramai fikir,” katanya.

“Ada pengorbanan yang terpaksa dilakukan kerana Tuanku tidak boleh memiliki kehidupan yang normal. Tiada privasi dan jadual harian yang normal. Status Tuanku adalah amanah daripada Allah,” terangnya.

“Tuanku telah lakukan yang terbaik dan lebih daripada itu dalam seluruh hidup Tok. Saya boleh menjadi puteri yang baik kerana tunjuk ajar Tuanku. Saya sayang sangat pada Tok. Tuanku ialah Sultan selamanya bagi saya. Al-Fatihah,” tambahnya sebelum mengakhiri coretannya.

Semoga kita semua dapat menjadi rakyat yang baik dan mencontohi sikap almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang sentiasa bekerja keras walaupun ketika gering.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Makan Sotong Mentah, King Crab? | Korea Pt. 1