Selepas 41 hari berlangsungnya inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib, hari ini Mahkamah Koroner memutuskan kematian anggota bomba itu berpunca daripada perbuatan jenayah.

Memetik laporan Harian Metro, Korober Rofiah memutuskan punca kematian Adib disebabkan impak perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang tidak dikenali.

BACA: Hina Pemergian Adib, Wanita Ini Dikecam Teruk & Digantung Kerja

Keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diheret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Beliau berkata lagi, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul seseorang di kawasan di mana antara 20 dan 30 orang berkumpul.

Selain itu, Rofiah juga berkata kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Dalam keputusan itu juga, beliau menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan.

Terdahulu, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November 2018.