Berikutan ada pihak menggunakan jenama Nasi Kak Wook, restoran sebenar Nasi Kak Wook akan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang menggunakan nama tersebut tanpa kebenaran.

Difahamkan, 10 premis di Kuala Lumpur telah diberikan notis amaran bagi menghentikan penggunaan jenama popular dari Kelantan itu.

Menurut peguam restoran Kelantan itu, peniaga diberi masa 3 bulan untuk menukar jenama mereka.

“Kami sudah berbincang dan pewaris Nasi Kak Wook memberi tempoh tiga bulan dari sekarang kepada peniaga untuk menukar jenama mereka sebelum tindakan lebih tegas diambil,” kata Zahari Affendi Abdul Kadir.

Sementara itu, anak pengasas Nasi Kak Wook, Mastura Ibrahim memberitahu, mereka hanya mempunyai enam cawangan di Kelantan dan tidak ada di negeri lain.

“Perniagaan warisan ini tidak pernah dibuka di tempat lain dan jika ada ia adalah tiruan,” katanya.

Akibat perbuatan menciplak jenama itu, syarikatnya diarahkan untuk membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana kononnya kami mempunyai berpuluh cawangan seperti yang didakwa.

Diasaskan Mek Wook Hassan, Nasi Kak Wook terkenal di Kota Baru sejak 1970-an. Nasinya berlauk ayam goreng dipotong kecil, kuah gulai dan sambal.